Saturday, September 13, 2008

KEDAH INTAI MUHARRAQ

KUALA LUMPUR - Pemergian pasukan juara tiga piala berganda, Kedah ke Bahrain lebih awal esok bukan berbekalkan tangan kosong, tetapi bakal mengorek maklumat dan rahsia pasukan yang bakal ditentangi Isnin ini dalam perlawanan suku akhir pertama Piala AFC, lapor FERZALFIE FAUZI.

Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, persiapan rapi pasukan Kedah bukan sahaja tertumpu kepada corak latihan biasa di padang tetapi didedahkan dengan maklumat mengenai pasukan Muhharaq secara terperinci.

''Berbekalkan teknologi yang canggih pada zaman sekarang kami telah memperolehi informasi kelab tersebut melalui laman web dan dari situ kami sudah mengetahui bagaimana prestasi, kekuatan, pemain merbahaya dan segalanya,'' kata Azraai ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, melalui informasi seperti itu pemain sudah mempunyai sedikit gambaran mengenai lawan yang mereka hadapi nanti walaupun kedua-dua pasukan bertemu buat pertama kali.

''Kami sudah mendapat gambaran mengenai pemain dan kedudukan mereka di liga tempatan, kekuatan mereka bergantung kepada pemain import dari Brazil, Rico.

''Saya juga mengharapkan semua pemain sudah bersedia untuk menghadapi pasukan lawan di Bahrain nanti sebelum perlawanan kedua di Alor Setar, 23 September ini,'' kata Azraai.

Ujarnya semua pemain berada dalam keadaan bersemangat walaupun gagal untuk menentang Perak dalam perlawanan persahabatan Rabu lalu selepas pasukan Seladang itu menghadapi sedikit masalah untuk datang ke Alor Setar.

''Pemain berjaya menunjukkan kebolehan dan prestasi mereka pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah, yang menggantikan pasukan Perak dalam perlawanan persahabatan Rabu lalu.

"Hari ini dan esok semua pemain Kedah akan menjalani latihan terakhir bermula pukul 10.00 hingga 11.30 malam,'' katanya.

Ditanya mengenai kekosongan posisi yang ditinggalkan pemain import, Azraai berkata: "Tempat Marlon berkemungkinan akan diisi oleh Samransak Kram atau Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, manakala posisi Nelson Sam Martin pula akan dipikul oleh Mohd. Sabree Abu atau Ahmad Fauzi Shaari. Sementara itu pemain pertahanan berusia 22 tahun dari Changlun, Mohd. Fazliata Taib akan menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Cornelius Bernard Huggins,'' katanya.

No comments: