Tuesday, September 23, 2008

KEDAH BELUM MENGALAH


KETUA jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah akan memastikan anak-anak buahnya beraksi dengan lebih cemerlang bagi mempertahan maruah daripada menjadi pasukan belasahan kepada pasukan Kelab Al-Muharraq dari Bahrain dalam perlawanan pusingan kedua Piala AFC di Stadium Darul Aman, Alor Star malam ini.

Azraai berkata, walaupun Kedah sukar menewaskan pasukan tersebut yang menggandingkan pemain tempatan dan import yang mantap, namun pemain-pemain Kedah tidak akan mudah menyerah kalah kerana perjuangan masih belum berakhir.

Menurutnya, dia akan memastikan pemain-pemain dapat mengekang pergerakan pemain Kelab Al-Muharraq daripada berjaya meloloskan diri.

"Ketiadaan pemain import menyebabkan persembahan pasukan Kedah kurang menyerlah memandangkan barisan pemain muda Kedah kurang mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media di Alor Star semalam.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Bahrain minggu lepas, Kelab Al-Muharraq menewaskan Kedah 5-0.

Azraai berkata, dia telah berusaha memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam pasukan itu agar ia tidak berulang pada perlawanan kedua.

Malah jelasnya, pasukan Kedah tidak akan melakukan rombakan bagi menghadapi pasukan itu pada perlawanan kedua kerana dia tidak mempunyai banyak pilihan pemain.

Sementara itu, jurulatih Kelab Al-Muharraq, Salman Shareedh pula berkata, pasukannya tidak memandang mudah terhadap kemampuan skuad Kedah pada perlawanan pusingan kedua Piala AFC memandangkan Kedah mempunyai pemain-pemain muda yang berkaliber.

Katanya, pemain-pemain Kedah mungkin akan beraksi dengan lebih baik apabila bertarung di gelanggang sendiri dan pasti mereka ingin membalas dendam ke atas kekalahan mereka sebelum ini.

"Saya akan menurunkan kesebelasan utama pada perlawanan esok (malam ini) untuk memastikan Kelab Al-Muharraq dapat melangkah ke separuh akhir AFC," ujarnya.

No comments: