Wednesday, October 29, 2008

HELMI ELIZA SUDAH BERSEDIA BERGELAR RAJA SEHARI


SUBANG JAYA - Jurulatih negara, B. Sathianathan mengecualikan penjaga gol utama, Helmi Eliza Elias yang akan mendirikan rumah tangga daripada skuad 22 pemain ke Piala Cabaran Grand Royal di Yangon, Myanmar dari 6 hingga 15 November ini.

Tempat penjaga gol Kedah yang bakal bernikah dengan gadis pilihannya pada 14 November ini, diambil alih oleh pilihan ketiga dari PKNS, Badrulzaman Halim manakala satu lagi slot masih menanti untuk diisi oleh sayap yang berpangkalan di Perancis, Titus James Palani.

Helmi kekal tanpa dibolosi sepanjang menentang Nepal, Sierra Leone dan Myanmar serta Vietnam dalam Pestabola malah skuad negara hanya tewas 6-5 menerusi sepakan penalti penentuan perlawanan akhir setelah terikat 0-0 termasuk masa tambahan.