Juara tiga piala musim ini — Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, Kedah menerima tamparan paling hebat apabila di malukan kelab Bahrain, Muharraq F.C 5-0 pada perlawanan di Stadium Nasional.
Kedah yang turun tanpa tiga tonggak import iaitu Marlon Alex James, Nelson San Martin dan Bernard Hungging tampak meyakinkan apabila berjaya mengekang penguasaan lawan pada separuh masa pertama.
Namun gawang Kedah akhirnya bocor dengan gol pembukaan Khaled Salmeen pada minit ke-65 sebelum pemain kebangsaan Bahrain, Mahmood Abdulrahman menambah gol kedua lapan minit kemudian.
Pemain import Muharraq dari Brazil, Rico menambah gol ketiga pada minit ke-85, gol keempat pada minit ke-87 melalui Fahad Al Hardan dan Mahmood melengkapkan gol kelima pada minit ke-90.
Jurulatih Kedah Mohd Azraai Khor Abdullah yang jelas merasai kehilangan tiga tonggak importnya mengakui pemain-pemainnya kurang pengalaman di dalam kejohanan besar seperti itu.
“Walaupun kami berjaya mempertahankan kedudukan (tiada jaringan) pada separuh masa pertama, tekanan berterusan menyebabkan pemain-pemain menjadi letih mengakibatkan lima gol dihasilkan lawan,” katanya selepas perlawanan di dalam laman web AFC.
Pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Marlon dan Nelson masing-masing menjaringkan empat gol daripada 13 gol yang di hasilkan oleh Kedah.
Sementara itu Perak turut menerima nasib sama apabila tumbang 0-2 kepada kelab Lebonan, Safa F.C di Stadium Perak di Ipoh setelah menggunakan seratus peratus tenaga pemain tempatan.
Jelas ketiadaan penjaring terbanyak mereka dari Chile, Carlos Caceres menyebabkan Perak tempang berdepan lawan yang menurunkan tiga pemain import Pierre Millat (Cameroon), Hamid Termina (Maghribi) dan Mba Derick Ebi dari Nigeria.
Pada perlawanan peringkat kumpulan trio import Perak iaitu Caceras, Mario Estaban dan Jorge Antonio menyumbang lapan daripada 13 gol yang dihasilkan pasukan itu.
Perlawanan timbal balik suku akhir akan berlangsung pada 23 Sept ini dengan Perak akan bertandang ke Lebonan sementara Kedah menanti kunjungan Muharraq F.C di Stadium Darul Aman. - Bernama
No comments:
Post a Comment