Remember the three R’s: Respect for self; Respect for others; Responsibility for all your actions.
Wednesday, September 17, 2008
KELETIHAN PUNCA KEDAH TEWAS
PERBEZAAN masa dan suasana bermain pada bulan puasa menjadi antara alasan kegagalan pasukan Kedah apabila dibelasah 0-5 oleh kelab Al-Muharraq dari Bahrain pada saingan suku akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFC di Stadium Nasional, Bahrain kelmarin. Namun aksi anak didik Mohd. Azraai Khor Abdullah itu juga patut dipuji kerana kesebelasan yang tempang tanpa pemain import mampu bertahan hingga minit ke-60 sebelum tewas akibat keletihan. Menurut Azraai, perubahan masa di Bahrain yang lewat lima jam belum dapat disesuaikan pemainnya yang hanya mempunyai masa sehari untuk menyesuaikan diri sebelum perlawanan bermula. "Mereka (pemain) bermain pada pukul 2.15 pagi waktu Malaysia dan 10.15 malam waktu Bahrain dan keadaan itu sebenarnya belum dapat disesuaikan lagi oleh pemain Kedah.
"Selain itu, faktor bermain di bulan puasa juga telah membuat pemain menjadi cepat letih sekali gus memberi ruang kepada lawan untuk mengusai perlawanan pada penghujung perlawanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelasnya, dia melihat barisan pemain tempatan pasukan Hijau Kuning adalah setanding dengan pemain Al-Muharraq yang dibarisi pemain import dan kebangsaan kerana kesebelasan utamanya masih mampu mengekang asakan lawan.
Menurutnya, kesebelasan yang diturunkan telah berusaha bermati-matian untuk membawa pulang kemenangan tetapi keletihan ternyata tidak dapat disembunyikan apabila gawang Kedah dibocor lima kali bermula pada minit ke-65.
Azraai berkata, masalah perbezaan masa dan suasana yang menghantui anak buahnya itu bakal dilalui pemain lawan apabila mereka bertandang ke Stadium Darulaman, Alor Star pada 23 September ini.
Katanya lagi, walaupun ruang untuk Kedah mara ke separuh akhir semakin sukar namun dia masih menaruh harapan untuk pemainnya bangkit menebus kekalahan itu.
Tambahnya, pasukannya pernah bangkit dalam perlawanan sukar sebelum ini dan tidak mustahil juga jika Kedah dapat melangkah ke separuh Piala AFC selepas ini.
Antara pemain yang menguatkan pasukan Kedah pada perlawanan itu ialah Saramsak Kram, Khyril Muhymeen, Fadzly Baharom, Badrol Bakhtiar, Fauzi Shaari, Mohd. Sabree Abu, Victor Andrag, Fazliata Taib, V. Thirumurugan, Shafizan hashim dan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment