Saturday, September 6, 2008

KEDAH MEMBARA

“WALAUPUN terpaksa beraksi tanpa Cornellius Bernard Hugging, Marlon Alex James dan Nelson Sam Martin, saya yakin kita mampu melakukan kejutan pada perlawanan suku akhir pertama Piala AFC menentang kelab dari Bahrain, Al- Muharraq,” kata ketua pasukan Kedah, A Victor.
Menurutnya, ketiadaan tiga pemain import yang memastikan Kedah berjaya mempertahankan tiga gelaran dimenangi musim lalu pasti akan dirasai mereka. “Janji kami ialah aksi terbaik mampu disajikan demi terus mengharumkan nama Kedah di peringkat Asia pula selepas berjaya melakukannya di Malaysia.
“Berdepan lawan seperti pasukan Al-Muharraq yang berpengalaman memang sukar tetapi tidak mustahil untuk mencari keputusan yang diidamkan.
“Kita gagal mendapatkan khidmat dua pemain Negeri Sembilan iaitu Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak. Kita sepatutnya mendaftarkan dua pemain berkenaan sebelum 31 Ogos, tapi semuanya sudah terlambat.
“Saya yakin ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mampu menyediakan kesebelasan terbaik bagi berdepan asakan barisan Al-Muharraq di Manama, Bahrin pada 16 September depan,” kata Victor. Katanya, kehadiran penyerang muda seperti Khyril Muhymeen, Fadly Baharom, Badrul Bakhtiar dan Shaffiq Jamal mampu memantapkan kembali prestasi mereka.

“Kita bukan tidak pernah beraksi tanpa khidmat tiga pemain import kerana kita sudah membuktikan keupayaan barisan tempatan sewaktu menjulang Piala FA, baru-baru ini.
“Kini barisan pemain Kedah sudah bertambah matang dan keyakinan diri sendiri sudah meningkat selepas memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut musim ini,” kata Victor.
Katanya, apabila beraksi di Manama, pemain akan pastikan mereka tidak akan putih mata bagi mencerahkan peluang beraksi pada suku akhir kedua di Alor Star, seminggu selepas itu.

No comments: