Tuesday, November 30, 2010

Ameer, x-Ruffedge



KETIKA ini lagu berunsur kerohanian, Seluruh Mahabbah nyanyian bekas anggota kumpulan Ruffedge, Amer Munawer Yusoff, 33, atau Amer sering disiarkan di radio IKIMfm.

Mendengar lirik lagu yang mendayu dan memuji kekuasaan Tuhan secara tidak langsung menyebabkan ada di kalangan peminat muzik yang mula membandingkan Amer dengan penyanyi nasyid solo antarabangsa seperti Yusuf Islam, Sami Yusuf dan penyanyi dari Sweden kelahiran Lubnan, Maher Zain.

Apa tidaknya, Maher yang popular menerusi lagu Insha Allah, For the Rest of My Life dan Open Your Eyes mencetus fenomena baru dalam dunia nasyid dan lagu kerohanian.

Amer sendiri mengakui dia juga antara peminat serta mengagumi Maher.

Begitupun terpulang kepada siapa saja yang mahu membuat andaian mengenai penampilannya itu.

Baginya, Maher sudah melaksanakan kerjanya dan tidak salah jika dia mengambil peluang berkenaan dengan memperbanyakkan pilihan lagu berentak dakwah dan kerohanian.

“Tidak dinafikan Maher Zain mencetus fenomena tersendiri dalam industri muzik antarabangsa. Pada saya dia (Maher) menyampaikan muzik dan lirik lagu yang catchy selain mudah difahami semua lapisan masyarakat.

“Dia menyampaikan lagu-lagu pop soul manakala saya lebih kepada R &B soul. Kalau ada yang kata saya hendak meniru dia, jawapan saya tidak kerana kami mempunyai konsep berlainan.

“Saya hanya mengambil peluang kerana ketika ini penerimaan peminat muzik terhadap lagu kerohanian bertambah baik.

“Apa salahnya jika memperbanyakkan lagu berbentuk sedemikian. Saya tidak kisah apa orang hendak cakap,” kata Amer ketika berkunjung ke Studio Balai Berita, Bangsar baru-baru ini bagi mempromosikan album Seluruh Mahabbah.

Album mengandungi dua lagu iaitu Seluruh Mahabbah nyanyian Amer dan Maha Suci Allah lagu duet Amer bersama Uniq serta Seluruh Mahabbah versi minus one siap dirakamkan pada Ramadan lalu. Dua lagu berkenaan ciptaan Amer manakala susunan muzik oleh Tengku Shafiz Rullah (Ash).

Buat masa ini, lagu berkenaan hanya dijual menerusi laman web atau Facebook Amer sahaja. Album berkenaan dijualkan pada harga RM10 seunit. Sebahagian daripada jualannya akan disalurkan kepada golongan anak yatim.

Bakat mencipta lagu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Amer yang turut menguruskan beberapa aktiviti membabitkan anak yatim menerusi program amal di bawah ‘click a child’ (www.clickita.com.my).

Dia juga menerbitkan program televisyen yang berkisar kepada kisah nabi, Almawlid yang bakal dihasilkan dengan kerjasama stesen televisyen Alhijrah.

Selain aktif menuntut ilmu agama menerusi satu kumpulan yang dianggotai rakan artis dan masyarakat awam yang turut dikenali Almawlid, mereka aktif memenuhi jemputan bermarhaban.

Amer memberitahu dirinya tidak dapat lari daripada menulis lirik atau syair berkisar kepada pengalaman hidup memandangkan ia adalah bakat yang dikurniakan Yang Maha Esa.

Amer yang menyertai Ruffedge sekitar 2003 sebelum berundur daripada kumpulan itu empat tahun kemudian memberitahu penghasilan album pada awalnya sekadar suka-suka itu didorong oleh impian untuk berubah ke arah kebaikan.

“Sejak dulu lagi saya sentiasa ingin mengubah hidup ke arah kebaikan melalui amalan dan keyakinan. Dalam proses mencari kebaikan itu saya sering berulang alik ke masjid berhampiran kediaman saya.

“Sebelum ini, kunjungan ke masjid hanya seminggu sekali untuk sembahyang jumaat.

“Apabila sering kali ke masjid terbuka hati saya untuk mendalami ilmu agama bersama seorang ustaz di masjid berkenaan.

“Saya akui banyak perkara dan ilmu agama yang saya pelajari di sana. Sehingga sekarang, saya masih lagi dalam proses mendalami ilmu agama.

“Perkahwinan juga menjadi faktor kepada saya untuk berubah ke arah yang lebih baik. Tidak dinafikan dalam perkahwinan banyak perkara baru yang saya pelajari.
“Apatah lagi memegang amanah dan tanggungjawab besar sudah tentu saya mahukan yang terbaik buat keluarga,” kata Amer yang menunggu detik kelahiran anak sulungnya pada bila-bila masa saja.

Amer juga tidak menolak kemungkinan bakal tampil dengan album penuh pada masa akan datang. Begitupun dia tidak mahu tergesa-gesa melaksanakannya.

Selain Amer mereka yang pernah menganggotai kumpulan Ruffedge ialah Azan Addin Abdul Wahab (Azan), Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid (Zain), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode) dan Farrish Zaquan Ramli (Cat). Mengenai perancangan mengadakan reunion pula, Amer memaklumkan setiap mereka tidak berdepan masalah untuk berganding semula.

No comments: