Wednesday, April 13, 2011

BMW 640i baru

BMW Malaysia Sdn Bhd, yakin dengan pasaran di negara ini dan menjangkakan jualan lebih tinggi tahun ini selepas 4,500 unit keretanya dijual, tahun lalu.
Pengurus Komunikasi Korporatnya, Sashi Ambi berkata, berdasarkan kenaikan 20 peratus dalam jualan pada suku pertama tahun ini, pihaknya percaya mencapai peningkatan jualan terutama menerusi pelancaran model baru BMW.

Katanya, kajian menunjukkan permintaan dan pelancaran kereta baru itu akan membawa jualan syarikat ke tahap lebih tinggi terutama bagi model BMW yang berjumlah 1,100 unit pada suku semasa.
“Strategi kami bagi Malaysia amat khusus. Kami akan berusaha ke arah mencatatkan jualan tinggi bagi tahun ini untuk semua jenama BMW,” katanya selepas melancarkan generasi baru BMW 6 Series Convertible (BMW 640i) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusannya, Geoff Briscoe dan Pengurus Produk, Kidd Yam.

Model baru BMW itu menggabungkan prestasi sporty dan diperkemaskan dengan keunggulan ciri kemewahan yang tiada tandingan. BMW 6 Series Convertible serba baru akan diperkenalkan dalam satu varian enjin iaitu BMW 640i Convertible yang menampilkan ciri enjin berkuasa 3.0 liter enam silinder.

Sementara itu, Briscoe berkata, model serba baru BMW 6 Series benar-benar memenuhi janji dalam pelbagai sudut, penetapan piawaian dalam segmen dari segi estetika, dinamik pemanduan, kecekapan dan keselesaan.

“Sememangnya tiada yang lebih evokatif dalam reka bentuk automobil daripada convertible yang panjang dan menggambarkan kereta sports berkuasa dengan pilihan bumbung memberikan perjalanan jauh dengan penuh kemewahan dan bergaya,” katanya.

Sejak pengenalan generasi kedua BMW 6 Series pada 2003, BMW Group sudah menjual lebih 50,000 unit kereta yang diidam ramai di seluruh dunia dan sebagai bukti terhadap tahap ketrampilan ciri mewahnya.

No comments: